Sunday, 27 October 2013

Perkongsian Pengalaman | Persediaan Yang Perlu Sebelum Membina Rumah Sendiri

Berdasarkan pengalaman saya menguruskan sendiri pembinaan rumah ini, kita perlu membuat persediaan terlebih dahulu sebelum kita memutuskan untuk menguruskan sendiri bina rumah impian masing-masing. Antara persediaan yang perlu ada sebelum memutuskan untuk menguruskan bina rumah sendiri atau melantik diri sendiri sebagai pengurus projek, kontraktor merangkap konsultan (untuk kes bina rumah sendiri dengan pinjaman perumahan sahaja) adalah seperti berikut :

  1. Mesti ada tanah sendiri bergeran individu / hak milik sendiri atau bersama pasangan.
    Semestinya hendak membina rumah, kenalah ada tanah milik sendiri. Namun, untuk membuat pinjaman perumahan, status tanah itu mestilah jelas dari segi hak milik (bergeran) sendiri/bersama pasangan, tanah berstatus bangunan (kalau tanah status pertanian bersaiz 1 ekar atau lebih masih boleh buat pinjaman perumahan kerajaan), status tanah bebas daripada bebanan (kalau ada bebanan/ sekatan, sila selesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan pinjaman tidak diluluskan atau masalah tanah tidak boleh digadaikan kepada pihak pemberi pinjaman).

  2. Mesti ada modal permulaan (wang tunai) ditangan.
    Untuk menguruskan bina rumah sendiri, sememangnya kita mesti ada modal/wang tunai ditangan. Sekiranya tiada modal pusingan, kita umpama kontraktor sakit yang mengharapkan duit claim pinjaman sepenuhnya yang akan mengakibatkan projek pembinaan terbengkalai, lambat, pekerja lari dan sebagainya. Oleh itu, kita mesti sediakan modal wang tunai ditangan dalam anggaran RM30,000.00 - RM 50,000.00 sebelum kerja pembinaan bermula.

    Tips : Sekiranya modal tidak mencukupi atau kekurangan modal, jangan mula kerja pembinaan sebaik sahaja pinjaman diluluskan. Kita boleh membuat claim permulaan 10% dengan BPP sebaik sahaja urusan gadaian tanah kepada Kerajaan Malaysia selesai dibuat. Biasanya memakan masa dalam 2 bulan selepas pinjaman lulus.

  3. Mesti ada ilmu dan pengetahuan dalam selok belok menguruskan bina rumah sendiri.
    Memandangkan kita telah melantik diri sendiri sebagai kontraktor merangkap konsultan dan pengurus projek, seboleh-bolehnya kita mesti lah ada serba sedikit ilmu dan pengetahuan dalam selok belok pembinaan rumah seperti syarat-syarat buat pinjaman, urusan dengan peguam, deal dengan tukang, mengawal selia progress kerja, urusan beli bahan binaan, tahu asas pembinaan (seperti spesifikasi struktur, aturan kerja), boleh membaca atau memahami pelan rumah. Oleh itu, kita kena rajinlah mencari maklumat berkenaan bina rumah (seperti membaca blog ini, hihi) atau tanya orang yang ada pengalaman urus bina rumah sendiri.

  4. Mesti ada masa untuk memantau progress kerja di tapak.
    Antara perkara terpenting untuk kita menguruskan pembinaan rumah sendiri adalah kita mempunyai masa untuk mengurus dan memantau kerja-kerja di tapak, seelok-eloknya kita berada atau tempat bekerja berhampiran dengan tapak. Melainkan kita boleh minta tolong ahli keluarga atau orang yang boleh dipercayai untuk membantu. Pada saya, akan berlaku banyak kesukaran dan masalah kiranya kita tidak boleh memantau projek secara terus dan kerap.
Saya rasa cukuplah sekadar 4 perkara di atas yang perlu difikirkan dan disediakan terlebih dahulu sebelum ke peringkat seterusnya.

Wednesday, 23 October 2013

Kerja-Kerja Membina Tangga dan Kemasan Bahagian Luar Rumah

Pembinaan rumah ini telah hampir ke fasa-fasa terakhir iaitu kerja finishing. Sebelum kerja-kerja finishing dibuat, kerja diteruskan dengan kerja membina tangga, kemasan border plaster (tak tahu nak sebut ape) untuk frame tingkap, pintu dan ground beam. Pembinaan rumah ini terpaksa diperlahankan kerana masih menunggu cek daripada BPP yang masih belum kunjung tiba lagi (semakan daripada bpp, cek telah dijana pada 14.10.2013 dan telah dipos). Kerja-kerja kemasan akhir sebenarnya akan memakan kos yang sangat tinggi dan berlakunya kes over budget adalah dalam fasa terakhir ini. Harap saya tidak terjebak sama dengan kes sebegini, kegagalan kita mengawal kehendak yang melebihi kemampuan. Bak kata orang alang-alang buat rumah!!

Kerja touch up sedang dilakukan
Tangga depan dan kemasan border pada frame pintu sliding siap dibina
Tangga ke pintu utama
Tangga lagi
Ground beam siap dibuat kemasan
Tingkap bahagian belakang
Groudbeam sedang di plaster
Pandangan rumah terkini sebelah kiri
Pandangan dari kanan
Pandangan depan

Monday, 14 October 2013

Perkongsian Pengalaman | Menguruskan Pembinaan Rumah Sendiri

Tujuan saya menulis blog ini selain untuk mencatatkan progress kerja pembinaan rumah untuk tatapan dan rujukan saya di masa akan datang adalah untuk berkongsi pengalaman yang saya tempuhi dalam menguruskan pembinaan rumah sendiri. Ramai orang sebenarnya ingin menguruskan bina rumah idaman sendiri, tetapi tidak berani dan tidak tahu bagaimana harus bermula.

Entry blog ini kebanyakkan adalah berkenaan progress kerja, aturan kerja dan juga bahan binaan yang digunapakai, insyallah saya akan selitkan dengan perkongsian pengalaman sebelum, semasa dan selepas dalam menguruskan bina rumah sendiri seperti penyediaan pelan rumah, kebenaran merancang PBT, urusan permohonan pinjaman, tuntutan claim progress kerja, urusan pembelian barang binaan, tips-tips (kalu ada lah) sehinggalah urusan permohonan CF kelak.

Insyallah sekiranya ada keizinan masa terluang.

Sunday, 22 September 2013

Kerja Konkrit Lantai Rumah

22 September 2013, projek pembinaan rumah ini diteruskan dengan kerja konkrit lantai rumah. Samaada kerja konkrit lantai rumah dilakukan selepas siap ground beam dibina ataupun dilakukan selepas selesai kerja plaster dinding, bergantung kepada tukang ataupun tuan rumah sendiri dan jenis footing/ground beam rumah yang dibina. Saya melakukan kerja konkrit lantai rumah, kaki lima dan porch sebaik sahaja siapnya kerja plaster dinding dan memasang atap. 

Sebelum kerja konkrit lantai dibuat, lantai perlu di level terlebih dahulu dengan membuang pasir yang dimasukkan ke dalam ground beam sebelum ini mengikut level lantai yang telah ditentukan. Pasir perlu diratakan dan dimampatkan dengan menggunakan mesin hand compactor supaya lantai yang dibina tidak mendap dikemudian hari. Sebelum kerja konkrit dibuat, semburan racun anai-anai dibuat sekali lagi (kali pertama semasa membina pad footing, kali kedua sebelum memasukkan pasir ke dalam ground beam) di atas pasir lantai rumah dan kaki lima sejurus sebelum konkrit dituang.

Pekerja sedang membuang lebihan pasir
Pasir sedang dimampatkan dengan menggunakan mesin hand compactor
Keadaan pasir lantai yang siap dirata dan dimampatkan
Pasir diratakan dan di compact sehingga level yang ditetapkan
Bahan-bahan untuk konkrit lantai rumah ini adalah simen (kurang lebih 100 bag), batu aggregat 3/4" (15 tan), pasir kasar/sedang (2 lori). Perkara paling penting semasa kerja konkrit lantai adalah campuran bahan iaitu simen, batu dan pasir yang betul supaya lantai yang dibina benar-benar kukuh. Penggunaan konkrit ready-mix juga adalah digalakkan bagi menjamin kualiti campuran konkrit. Kerja konkrit lantai, kaki lima dan porch berjaya disiapkan dalam tempoh 7 hari bekerja.

Konkrit dihasilkan secara manual menggunakan mesin mixer
Pekerja sedang meratakan konkrit lantai
Lantai konkrit dalam proses pembinaan
Lantai yang telah siap dikonkrit
Lantai verandah siap dikonkrit
lantai kaki lima dalam proses pembinaan
Longkang akan dibina menggunakan sistem serapan semulajadi
Pekerja sedang konkrit kaki lima bahagian belakang rumah

Tuesday, 17 September 2013

Selepas 4 Bulan : Status Kemajuan Projek

17 September 2013, selepas 4 bulan projek pembinaan rumah ini berjalan, hasil kerja yang berjaya disiapkan adalah memasang atap genting, conduit wiring dan kerja melepa/ plaster dinding.


Hasil kerja selepas 4 bulan
Fasa seterusnya adalah kerja-kerja konkrit lantai, kaki lima dan porch, memasang panel daun tingkap dan pintu (jika panel tingkap dan pintu sliding yang ditempah telah siap) dan kerja membina pagar konkrit. Kerja-kerja finishing iaitu memasang sling kapur, mosaic, wiring serta mengecat akan dilakukan selepas cek bayaran claim progress ke-65% diterima daripada BPP yang dijangka pada akhir Oktober nanti.

Saturday, 7 September 2013

Kerja Memasang Atap (Concrete Roof Tiles)

Bagi pembinaan sesebuah rumah, kerja-kerja untuk membina bumbung rumah memakan kos yang agak tinggi. Kos untuk membeli bahan untuk kerja bumbung rumah ini iaitu kayu untuk kekuda rumah dan atap adalah kurang lebih RM30,000.00. Untuk bumbung rumah ini, saya menggunakan atap jenis Monier Advance Contour Roof berwarna Pure Brown. 

Rekabentuk bumbung dari pandangan hadapan 
Saya telah membeli atap dan aksesori dengan kuantiti seperti berikut : 

Bil Perkara Kuantiti Harga Seunit (RM)
1  Monier Contour Roof Tiles 4500 pcs
2.15 
2  Ridge and Hip Tiles250 pcs
11.30 
3  Hip Starter 11 pcs
18.00 
4  3-Way Apex 3 pcs
32.00 

Atap baru sampai ke tapak terus dari kilang Monier Dengkil
Warna pure brown - satu pallet 288 keping tiles
Advanced Contour Roof Tiles
Kepingan atap disusun diatas kayu terlebih dahulu
Pandangan kanan dari belakang - atap siap disusun
Pekerja sedang memasang atap
Atap hampir siap dipasang - tukang sedang memasang ridge tiles
Bentuk bumbung dari pandangan kanan
Pandangan sebelah kiri

Wednesday, 28 August 2013

Kerja-Kerja Melepa / Plaster Dinding Rumah

Memandangkan atap rumah ini masih belum dibeli kerana kengkangan modal, dan bagi mengelakkan pembinaan rumah ini tertangguh, tukang rumah meneruskan kerjanya dengan memulakan kerja plaster dinding. Walaupun mengikut kebiasaannya atap perlu dipasang terlebih dahulu sebaik kekuda bumbung siap dipasang, sebelum kerja plaster dinding dibuat. Atap akan dibeli dalam masa terdekat sebaik sahaja cek tuntutan daripada BPP diterima oleh peguam.

Anggaran bahan untuk kerja plaster keseluruhan rumah adalah lebih kurang 100 bag simen, 2 lori pasir halus dan 2 bundle kapur. Kerja plaster dimulakan pada dinding luar terlebih dahulu dan diteruskan pada dinding sebelah dalam sehingga siap sepenuhnya.

Kerja plaster dinding bahagian luar
Pekerja sedang melakukan kerja plaster dinding
Pekerja sedang meratakan plaster supaya kemas dan cantik
Kerja plaster sedang berjalan
Dinding bahagian depan siap di plaster
Dinding bahagian kiri selepas di plaster
Pandangan kiri dari belakang
Dinding bahagian belakang siap di plaster
Kerja plaster diteruskan di bahagian dinding dalam
Tukang sedang plaster dinding dengan campuran simen dan kapur
Dinding bahagian ruang tamu hampir siap