Showing posts with label MPK. Show all posts
Showing posts with label MPK. Show all posts

Tuesday, 26 February 2013

Permohonan Kebenaran Merancang Telah Lulus

Setelah rekabentuk pelan rumah dipersetujui, proses seterusnya iaitu membuat permohonan Kebenaran Merancang untuk Membina Rumah Kediaman Setingkat kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK). Proses memohon kelulusan pelan pada masa kini semua adalah melalui online yang dinamakan One Stop Center (OSC) ePBT. Melalui cerita pengalaman kawan2 sebelum ini, proses untuk kelulusan pelan rumah selalunya lambat memakan masa antara 3 hingga 6 bulan untuk diproses. Tetapi sejak ePBT melalui OSC online diperkenalkan, proses untuk kelulusan pelan bangunan adalah dalam tempoh 37 hari sahaja mengikut piagam sekiranya tiada apa-apa kuiri.

Selepas saya berurusan untuk permohonan kelulusan pelan bangunan ini, barulah saya tahu proses kelulusan adalah melibatkan 4 Jabatan/Agensi Teknikal iaitu 3 Agensi Teknikal Dalaman MPK iaitu Jabatan Bangunan, Jabatan Perancangan dan Jabatan Kejuruteraan manakala 1 Agensi Teknikal Luaran iaitu Indah Water Konsortium. Sebenarnya, kita boleh menyemak status permohonan melalui online di portal http://www.epbt.gov.my/osc/ yang mana kita akan dimaklumkan secara detail status proses di 4 Jabatan/Agensi tersebut.

Berdasarkan semakan saya melalui OSC ePBT, permohonan saya telah diluluskan pada 19 Februari 2013 iaitu hanya memakan masa 22 hari proses untuk kelulusan pelan bangunan tersebut. Sangat cepat kan!! satu perkhidmatan yang cekap dan memuaskan.

 p/s : Untuk makluman, saya hanya boleh menyemak status permohonan ini menggunakan browser safari Ipad sahaja. Sekiranya saya menggunakan desktop (IE /Mozilla / Chrome) semakan terkini tidak dipaparkan yang mana hanya memaparkan permohonan tahun 2010 dan terdahulu sahaja. Yang pasti, saya tidak tahu apa puncanya walaupun dah puas mencuba dan memikir sebab musababnya. Minta sape2 yang pakar IT, boleh tolong bagi jawapannya!!!

Wednesday, 5 December 2012

Langkah Pertama : Lakaran Pelan Rumah

Perkara pertama yang perlu dilaksanakan dalam merealisasikan projek membina rumah ini adalah membuat lakaran pelan rumah yang akan dibina nanti. Antara sebab saya memilih untuk membina rumah sendiri adalah kebebasan untuk merekabentuk pelan rumah kita sendiri mengikut citarasa dan kehendak sendiri berbanding membeli rumah daripada pemaju.

Selepas lebih setahun tapak lot rumah dibeli iaitu pada April 2011, saya mula merancang untuk memulakan projek membina rumah pada awal tahun 2013 selepas musim tengkujuh berakhir. Mengikut prosedur yang ditetapkan, langkah pertama adalah memohon kelulusan Kebenaran Merancang daripada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) terlebih dahulu. Oleh itu, sebelum memohon saya perlu menggunakan khidmat Pelukis Pelan bertauliah untuk menguruskan proses penyediaan pelan rumah sehingga memperolehi kelulusan daripada MPK.

Hasil perbincangan dengan isteri, akhirnya inilah bentuk pandangan banglo impian kami iaitu rumah sesebuah setingkat, 4 bilik, 3 bilik air dan 1 bilik bacaan. Proses merekabentuk pelan ini bermula bulan November 2011 dan mengambil masa lebih sebulan untuk finalised selepas beberapa kali pindaan dan siap juga akhirnya.