Wednesday, 15 May 2013

Bahan Binaan Asas Pembinaan Rumah

Selepas berbincang dengan tukang rumah, saya telah membuat senarai bahan binaan asas yang perlu disediakan sebelum kerja pembinaan bermula. Untuk permulaan pembinaan rumah, fasa pertama bahan asas yang diperlukan adalah untuk membuat tapak, tiang dan beam rumah.

Untuk pembinaan rumah ini, bahan binaan yang saya beli untuk fasa pertama adalah seperti berikut :

Bil Perkara Kuantiti Harga Seunit (RM)
1  Simen (1 bag 50 kg)  50 bag
                        17.00 
2  Bata simen (untuk pad footing) 1 pallet
                      125.00 
3  Besi Y 12mm  2 tan
                   2,600.00 
4  Besi R 6mm 120 batang
                          5.00 
5  Batu aggregate 3/4  13 tan
                        32.00 
6  Pasir kasar 1 lori (tayar 10)
                      420.00 
7  Plywood 12mm 40 keping
                        45.00 
8  Kayu 1x6 (panjang 12) 10 batang
 1.30 sekaki 
9  Kayu capca 1x2 1 bundle
                      850.00 
10  Kayu 2x2 (panjang 12) 10 batang  0.80 sekaki 
11  Kayu 2x3 (panjang 12) 20 batang  1.50 sekaki 
12  Paku 2 1/2" 1 kotak
                        35.00 
13  Paku 2" 2 kotak
                        35.00 
14  Dawai (ikat besi) 5 gulung
                        12.00 
15  Atap Zink 6 keping  1.70 sekaki

Besi Y12 - 2 tan

Besi Link R6 - 120 batang
Batu Aggregat 3/4
Kayu capca 1x2 dan kayu 1x6
Plywood 12mm
Zink 
Kayu 2x2 dan 2x3
Batu Bata Simen 
Pasir

Saturday, 11 May 2013

Membuat Tempahan Frame Tingkap dan Pintu Kayu

Sebelum kerja-kerja pembinaan rumah dijalankan, sebaik-baiknya kita perlu membuat tempahan frame tingkap dan pintu terlebih dahulu sekiranya ingin menggunakan frame yang diperbuat daripada kayu. Ini kerana, kebiasaanya tempoh masa untuk menyiapkan frame tingkap dan pintu untuk sebuah rumah banglo memakan masa 3 - 4 minggu. Sekiranya kerja-kerja pembinaan rumah telah berjalan, frame tersebut mesti telah siap sebelum kerja mengikat bata dibuat. Kebiasaannya, tukang rumah mengambil masa sebulan untuk kerja membuat tapak, ground beam, tiang dan beam atas (kebanyakkan tukang rumah ikat bata dahulu kemudian buat beam atas).

Oleh kerana saya memang ingin menggunakan frame kayu, saya telah membuat survey harga bagi mendapat harga yang terbaik dan berpatutan. Berdasarkan survey yang telah dibuat dalam masa lebih kurang sebulan, saya telah pergi ke tempat bengkel kayu di Kemasik, Kerteh, Dungun dan Kuala Terengganu serta menelefon bengkel kayu di Kota Bahru. Hasil yang saya dapat rumuskan, harga frame kayu di Daerah Kemaman dan Dungun terlebih mahal berbanding di Kuala Terengganu. Harga frame kayu Seraya di Kemaman dan Dungun adalah RM12 - 13 sekaki berbanding harga di Kuala Terengganu iaitu RM8.50 - 9.50 sekaki. Tetapi di Kota Bahru masih ada harga frame kayu Seraya RM7 sekaki..tapi jauh lah pulak. Selepas penat survey, saya telah menempah frame tingkap, pintu dan pintu sliding kayu Seraya di Manir, Kuala Terengganu dengan harga RM8.50 sekaki. Untuk frame ini sahaja, kos lebih kurang RM7K ++.

Contoh frame kayu - tingkap labuh berpagar

Friday, 10 May 2013

Kerja-Kerja Membersih Kawasan dan Menambun Tanah Tapak Rumah

Memandangkan tanah lot yang saya beli dipenuhi hutan semak samun beserta beberapa batang pokok besar, maka tanah tersebut perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum membina rumah. Bagi menaikkan semangat untuk membina rumah sendiri, saya terlebih dahulu membersih kawasan tanah tersebut pada awal bulan September 2012 menggunakan JCB dengan kadar sewaan RM370.00 sehari.

Keadaan tanah sebelum dibersihkan
Dalam proses membuang pokok-pokok hutan
Jentera yang digunakan

Kawasan tanah yang hampir siap dibersihkan
Pada mulanya saya tidak bercadang untuk menambun tanah tersebut kerana kawasan tanah ini dah tinggi, bukan kawasan banjir dan tidak berpaya , tetapi tanah yang berpasir ini terlalu cepat ditumbuhi anak-anak pokok gelam apabila dibiar lama. Jadi jalan penyelesaiannya, saya mengambil keputusan untuk menambun tanah tersebut setinggi 1 kaki sahaja. Kos untuk kerja-kerja menambun tanah setinggi 1 kaki untuk tanah seluas 631 m2 adalah sebanyak RM3500.00.

Tanah yang siap ditambun setinggi 1 kaki
Rumah-rumah bakal jiran yang telah diduduki

Monday, 29 April 2013

Pemohonan Pinjaman Perumahan Telah Lulus

Melalui portal Sistem Pinjaman Perumahan Bersepadu (SPPB), saya telah menyemak status permohonan pinjaman perumahan yang dipohon pada 20 Mac 2013. Alhamdulillah, permohonan pinjaman tersebut telah diluluskan pada 16 April 2013 selepas proses penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) siap pada 9 April 2013. 




Selesai sudah fasa pertama projek membina rumah ini, perancangan fasa seterusnya adalah mula membuat perbincangan dengan tukang rumah, membuat QS bahan binaan, survey kedai hardware dan dah boleh start kerja pembinaan rumah. Saya plan start kerja-kerja pembinaan dalam pertengahan bulan Mei 2013 nanti. InsyaAllah.

Monday, 25 March 2013

Permohonan Pinjaman Perumahan Perbendaharaan

Selepas selesai sahaja penyediaan SPA oleh peguam, baru lah boleh saya membuat permohonan pinjaman perumahan kerajaan daripada Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Perbendaharaan Malaysia. Urusan permohonan pinjaman tersebut semuanya adalah melalui atas talian (online) di portal Sistem Pinjaman Perumahan Bersepadu (SPPB) di alamat https://sppb.treasury.gov.my. Pada pandangan saya, sistem tersebut sangat berkesan dan user friendly berbanding sistem-sistem online kerajaan yang lain terutamanya sistem HRMIS.

Proses permohonan online menggunakan SPPB sangat mudah dan panduan yang disediakan juga sangat membantu semasa kita mengisi borang online. Selesai sudah mengisi online, kita dikehendaki mencetak permohonan tersebut dan perlu menyediakan dokumen sokongan seperti salinan slip gaji 3 bulan terkini, salinan hakmilik tanah, salinan kad pengenalan, salinan surat pengesahan jawatan dan surat iringan majikan serta borang permohonan laporan penilaian hartanah dan borang Akuan Pemilihan Insurans/Takaful. Lain-lain dokumen yang diperlukan telah disediakan oleh Peguam seperti salinan SPA, salinan lesen kontraktor dan salinan pelan bangunan.

Semua salinan dokumen ini perlu disahkan dan disediakan sebanyak 4 salinan. Huh banyak pulak rasanya, itulah kalu urusan melibatkan kerajaan Malaysia memang tak boleh lari daripada salinan dokumen itu ini atau paperless walaupun telah menggunakan sistem online sepenuhnya. Dan tidak lupa juga wang proses sebanyak RM100.00 yang saya bayar menggunakan Maybank2u.


Thursday, 21 March 2013

Sales & Purchase Agreement (SPA)

Sebaik sahaja permohonan Kebenaran Merancang Pelan Bangunan diluluskan oleh MPK, proses seterusnya adalah melantik Peguam untuk urusan pinjaman perumahan. Melalui cadangan kawan, saya telah memilih peguam Tetuan Ghazali Ismail & Co, di Cukai Kemaman untuk urusan pinjaman ini. Semua urusan di pejabat peguam ini diuruskan oleh kerani sahaja, saya rasa peguam hanya datang untuk tandatangan dokumen je kot.

Perkara pertama yang perlu dibuat adalah menyediakan Sales and Purchase Agreement (SPA) antara Pembeli dan Kontraktor sebelum urusan permohonan pinjaman dibuat. Saya akan memohon pinjaman perumahan Perbendaharaan Jenis II iaitu Membina Rumah di atas Tanah Sendiri dan syarat-syarat utama yang perlu adalah memiliki tanah milikan individu (sendiri), Pelan Bangunan yang diluluskan oleh PBT, lesen kontrator iaitu pendaftaran SSM dalam bidang pembinaan (bidang-bidang lain seperti kerja-kerja am yang tidak spesifik tidak diterima), lesen CIDB/PKK (jika ada - tidak wajib) dan SPA.

Penyediaan SPA oleh kerani peguam sangat cepat disiapkan dalam masa 1 hari je (mungkin copy and paste je untuk tukar nama pembeli, kontraktor, hakmilik tanah dan harga rumah) dan proses seterusnya adalah tandatangan pembeli dan kontraktor pada SPA tersebut, buat stamping dan siap!!! Kos yang perlu disediakan apabila menggunakan khidmat Peguam tersebut adalah :
  • Buka Fail - RM200.00
  • Stamping - RM300.00 - asal
  • Stamping - RM40.00 - 2 salinan
  • Yuran Peguam - 1% daripada Jumlah Pinjaman yang diluluskan.
Jadi apabila kita hendak membina rumah sendiri, kos yang perlu disediakan untuk penyediaan pelan sehingga lulus dan penyediaan SPA adalah lebih kurang RM8K++ tunai.

Tuesday, 26 February 2013

Permohonan Kebenaran Merancang Telah Lulus

Setelah rekabentuk pelan rumah dipersetujui, proses seterusnya iaitu membuat permohonan Kebenaran Merancang untuk Membina Rumah Kediaman Setingkat kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK). Proses memohon kelulusan pelan pada masa kini semua adalah melalui online yang dinamakan One Stop Center (OSC) ePBT. Melalui cerita pengalaman kawan2 sebelum ini, proses untuk kelulusan pelan rumah selalunya lambat memakan masa antara 3 hingga 6 bulan untuk diproses. Tetapi sejak ePBT melalui OSC online diperkenalkan, proses untuk kelulusan pelan bangunan adalah dalam tempoh 37 hari sahaja mengikut piagam sekiranya tiada apa-apa kuiri.

Selepas saya berurusan untuk permohonan kelulusan pelan bangunan ini, barulah saya tahu proses kelulusan adalah melibatkan 4 Jabatan/Agensi Teknikal iaitu 3 Agensi Teknikal Dalaman MPK iaitu Jabatan Bangunan, Jabatan Perancangan dan Jabatan Kejuruteraan manakala 1 Agensi Teknikal Luaran iaitu Indah Water Konsortium. Sebenarnya, kita boleh menyemak status permohonan melalui online di portal http://www.epbt.gov.my/osc/ yang mana kita akan dimaklumkan secara detail status proses di 4 Jabatan/Agensi tersebut.

Berdasarkan semakan saya melalui OSC ePBT, permohonan saya telah diluluskan pada 19 Februari 2013 iaitu hanya memakan masa 22 hari proses untuk kelulusan pelan bangunan tersebut. Sangat cepat kan!! satu perkhidmatan yang cekap dan memuaskan.

 p/s : Untuk makluman, saya hanya boleh menyemak status permohonan ini menggunakan browser safari Ipad sahaja. Sekiranya saya menggunakan desktop (IE /Mozilla / Chrome) semakan terkini tidak dipaparkan yang mana hanya memaparkan permohonan tahun 2010 dan terdahulu sahaja. Yang pasti, saya tidak tahu apa puncanya walaupun dah puas mencuba dan memikir sebab musababnya. Minta sape2 yang pakar IT, boleh tolong bagi jawapannya!!!