Monday 25 March 2013

Permohonan Pinjaman Perumahan Perbendaharaan

Selepas selesai sahaja penyediaan SPA oleh peguam, baru lah boleh saya membuat permohonan pinjaman perumahan kerajaan daripada Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Perbendaharaan Malaysia. Urusan permohonan pinjaman tersebut semuanya adalah melalui atas talian (online) di portal Sistem Pinjaman Perumahan Bersepadu (SPPB) di alamat https://sppb.treasury.gov.my. Pada pandangan saya, sistem tersebut sangat berkesan dan user friendly berbanding sistem-sistem online kerajaan yang lain terutamanya sistem HRMIS.

Proses permohonan online menggunakan SPPB sangat mudah dan panduan yang disediakan juga sangat membantu semasa kita mengisi borang online. Selesai sudah mengisi online, kita dikehendaki mencetak permohonan tersebut dan perlu menyediakan dokumen sokongan seperti salinan slip gaji 3 bulan terkini, salinan hakmilik tanah, salinan kad pengenalan, salinan surat pengesahan jawatan dan surat iringan majikan serta borang permohonan laporan penilaian hartanah dan borang Akuan Pemilihan Insurans/Takaful. Lain-lain dokumen yang diperlukan telah disediakan oleh Peguam seperti salinan SPA, salinan lesen kontraktor dan salinan pelan bangunan.

Semua salinan dokumen ini perlu disahkan dan disediakan sebanyak 4 salinan. Huh banyak pulak rasanya, itulah kalu urusan melibatkan kerajaan Malaysia memang tak boleh lari daripada salinan dokumen itu ini atau paperless walaupun telah menggunakan sistem online sepenuhnya. Dan tidak lupa juga wang proses sebanyak RM100.00 yang saya bayar menggunakan Maybank2u.


Thursday 21 March 2013

Sales & Purchase Agreement (SPA)

Sebaik sahaja permohonan Kebenaran Merancang Pelan Bangunan diluluskan oleh MPK, proses seterusnya adalah melantik Peguam untuk urusan pinjaman perumahan. Melalui cadangan kawan, saya telah memilih peguam Tetuan Ghazali Ismail & Co, di Cukai Kemaman untuk urusan pinjaman ini. Semua urusan di pejabat peguam ini diuruskan oleh kerani sahaja, saya rasa peguam hanya datang untuk tandatangan dokumen je kot.

Perkara pertama yang perlu dibuat adalah menyediakan Sales and Purchase Agreement (SPA) antara Pembeli dan Kontraktor sebelum urusan permohonan pinjaman dibuat. Saya akan memohon pinjaman perumahan Perbendaharaan Jenis II iaitu Membina Rumah di atas Tanah Sendiri dan syarat-syarat utama yang perlu adalah memiliki tanah milikan individu (sendiri), Pelan Bangunan yang diluluskan oleh PBT, lesen kontrator iaitu pendaftaran SSM dalam bidang pembinaan (bidang-bidang lain seperti kerja-kerja am yang tidak spesifik tidak diterima), lesen CIDB/PKK (jika ada - tidak wajib) dan SPA.

Penyediaan SPA oleh kerani peguam sangat cepat disiapkan dalam masa 1 hari je (mungkin copy and paste je untuk tukar nama pembeli, kontraktor, hakmilik tanah dan harga rumah) dan proses seterusnya adalah tandatangan pembeli dan kontraktor pada SPA tersebut, buat stamping dan siap!!! Kos yang perlu disediakan apabila menggunakan khidmat Peguam tersebut adalah :
  • Buka Fail - RM200.00
  • Stamping - RM300.00 - asal
  • Stamping - RM40.00 - 2 salinan
  • Yuran Peguam - 1% daripada Jumlah Pinjaman yang diluluskan.
Jadi apabila kita hendak membina rumah sendiri, kos yang perlu disediakan untuk penyediaan pelan sehingga lulus dan penyediaan SPA adalah lebih kurang RM8K++ tunai.